Projek ESG di Malaysia perlu biaya RM45 bilion

KUALA LUMPUR: Projek berkaitan portfolio Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di Malaysia memerlukan pembiayaan sekitar RM45 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan Insha Holdings Bhd, Ramesh Kana, berkata memandangkan keperluan pembiayaan yang sangat besar dalam projek terbabit, ia memerlukan pembabitan pelaburan sektor swasta menerusi pasaran modal.

“Keperluan pembiayaan projek berkaitan ESG di Malaysia dari 2020 hingga 2025 memerlukan suntikan yang sangat besar. Malah, pembiayaan sektor awam tidak mencukupi untuk membiayai keperluan pembangunan lestari ini.

“Justeru, projek berkaitan ESG ini menyediakan ruang yang luas kepada pembiayaan sektor swasta dan pembabitan organisasi ini menjadi sangat kritikal,” katanya.

Yang turut serta, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani.

Mengulas lanjut, Kana yang juga Pengerusi United Nation Global Compact bagi Malaysia dan Brunei berkata, minat dalam mewujudkan kumpulan modal ESG termasuk projek berkaitan di negara ini berkembang dengan pantas dipacu sokongan dari aspek pengawal seliaan.

Katanya, kerajaan membantu mewujudkan kerangka sokongan bagi pelaburan ESG di Malaysia, sekali gus menjadikan ia sebagai satu perkembangan yang positif.

“Ia termasuk langkah Malaysia mewujudkan Sukuk Kelestarian bernilai AS$1.3 bilion (RM5.38 bilion), skim pembiayaan teknologi hijau berjumlah RM2 bilion bagi tempoh dua tahun sehingga tahun depan dan pelan mengembalikan degradasi bagi pembangunan hutan bernilai RM600 juta.

“Malaysia juga merancang menjadikan negara sebagai sumber tenaga rendah karbon disokong oleh langkah kerajaan yang sedang merangka Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) sebagai dasar tenaga nasional, selain menggalakkan penerbitan bon Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang menawarkan insentif cukai sehingga 2025,” katanya.

Kana menjelaskan, industri di negara ini berdepan dengan faktor risiko termasuk peningkatan suhu termasuk kenaikan paras air di perairan serta keadaan cuaca ekstrim di Malaysia, di samping isu keselamatan makanan.

“Setiap risiko ini mewakili peluang kepada kerajaan dan industri. Antara teras utama penerapan ESG di Malaysia adalah jelas bukan satu-satunya membabitkan tekanan yang semakin meningkat dari pelabur global.

“Kita dapat lihat contoh terbaik menerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkatkan pendedahan dalam instrumen berkaitan ESG.

“Pemacu lain untuk kesedaran ESG ini adalah apabila dana institusi tempatan menyertai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyokong prinsip rangkaian pelaburan bertanggungjawab (PRI). Ia bermula dengan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pada 2017, diikuti KWAP (2018) dan KWSP (2019),” katanya.